I-think
i-THINK memperkenalkan Peta Pemikiran. Berdasarkan kajian kecerdasan, Peta Pemikiran mampu membantu menggabungkan proses pembelajaran secara kognitif dan persembahan maklumat secara visual dalam bentuk grafik. Peta Pemikiran adalah merupakan salah satu cabang alat berfikir yang dipersembahkan dalam 8 bentuk Peta Pemikiran secara visual yang mudah digunapakai dan difahami merentas kurikulum. Setiap Peta Pemikiran mempunyai proses pemikiran tersendiri. Antara jenis peta pemikiran yang dicadangkan di dalam pengaplikasian program ini adalah Peta Bulatan, Peta Buih, Peta Buih Berganda, Peta Pokok , Peta Dakap , Peta Alir, Peta Pelbagai Alir dan Peta titi.
1. Peta Bulatan
Proses pemikiran: Mendefinisikan mengikut konteks
o Sumbangsaran idea dan mempamerkan pengetahuan sedia ada berkaitan sesuatu tajuk dengan memberikan maklumat mengikut konteks.
Langkah Membina Peta Bulatan
1. Lukiskan sebuah bulatan kecil di bahagian tengah.
2. Tuliskan topik utama yang ingin diperkenalkan dalam bulatan kecil tersebut.
3. Lukiskan sebuah bulatan yang lebih besar mengelilingi bulatan kecil tersebut.
4. Isikan bahagian dalam bulatan besar dengan segala maklumat berkaitan dengan topik tersebut untuk menjana idea (proses sumbangsaran).
5. Lukis bingkai di bahagian luar bulatan besar untuk menyatakan sumber rujukan atau sudut pandangan daripada pelbagai pihak.
Soalan-soalan berkaitan
1. Apakah kata pembayang yang dapat membantu mendefinisikan topik?
2. Bagaimana anda tahu tentang ................... ?
3. Adakah anda tahu bahawa ...........................?
4. Bagaimana mendefinisikan/memperkenalkan idea/topik ini?
5. Apakah yang anda fikir tentang .......................?
2. Peta Buih
Proses pemikiran: Menerangkan atau memperihalkan menggunakan adjektif
o Memperkaya kebolehan pelajar bagi mengenalpasti atau menunjukkan kualiti. Ia biasanya menggunakan perkataan deskriptif atau huraian
Langkah Membina Peta Buih
1. Lukiskan sebuah bulatan di bahagian tengah dan labelkan topik utama di dalamnya.
2. Lukiskan beberapa bulatan di sekelilingnya untuk diisi dengan kata adjektif / kata sifat bagi topik tersebut.
3. Sambungkan semua bulatan tersebut dengan topik utama menggunakan garis lurus.
4. Senaraikan seberapa banyak kata / frasa adjektif berkaitan sama ada positif / negatif . Warna yang berbeza boleh digunakan.
5. Contoh:
Kata Adjektif – cantik, baik hati, periang, pandai, pendiam, cemburu, malas
Frasa Adjektif- bertelinga besar, berion positif, bersisik tebal.
Soalan-soalan berkaitan
1. Bagaimana anda dapat menerangkan tentang seseorang, tempat, benda, idea, konsep, gambar,...?
2. Apakah ciri-ciri yang digunakan bagi mewakili objek ini?
3. Apakah sifat bagi konsep/nombor ini?
4. Apakah kualiti yang penting bagi konsep ini?
3. Peta Buih Berganda
Proses pemikiran: Banding beza
o Membanding beza sesuatu.
Langkah Membina Peta Buih Berganda
1. Lukiskan 2 bulatan (berwarna biru dan merah) di dua bahagian untuk menulis 2 topik (objek / idea) yang ingin dibandingkan.
2. Tuliskan kedua-dua topik tersebut di dalamnya.
3. Lukiskan beberapa bulatan di sekelilingnya termasuklah di antara 2 bulatan utama.
4. Sambungkan semua bulatan dengan 2 topik utama menggunakan garis lurus.
5. Bagi bulatan (berwarna hijau) yang berada di antara 2 topik, gabungkannya dengan kedua-dua topik untuk mewakili persamaan.
6. Isikan semua perbezaan di dalam bulatan (berwarna kuning atau ungu) yang hanya bersambung dengan 1 topik sahaja.
7. Peta ini juga boleh digunakan untuk menujukkan persamaan sahaja atau perbezaan sahaja.
Soalan-soalan berkaitan
1. Apakah persamaan dan perbezaan antara 2 topik ini?
2. Bagaimanakah kita dapat membanding beza kedua-duanya?
4. Peta Pokok
Proses Pemikiran: Membuat pengelasan
o Mengklasifikasi bahan atau idea.
Langkah Membina Peta Pokok
1. Tuliskan tajuk/topik utama di bahagian atas dan gariskannya.
2. Lukiskan garisan untuk mengasingkan topik utama kepada beberapa kumpulan/kategori.
3. Tuliskan setiap kategori pada setiap cabang pengelasan.
4. Senaraikan contoh/penjelasan bagi setiap kategori.
5. Gariskan setiap contoh yang ditulis.
Soalan-soalan berkaitan
1. Bagaimanakah anda mengasingkan semua maklumat yang telah dikumpulkan?
2. Bolehkah anda mengasingkan/mengelaskan objek-objek ini mengikut kumpulannya?
3. Apakah idea/penjelasan yang menerangkan/menyokong idea utama ini?
4. Apakah contoh bagi setiap kategori ini?
5. Adakah item ini sesuai untuk ditulis dalam beberapa kategori yang telah dipilih?
6. Adakah cara yang lebih baik untuk mengelaskan bahan/alatan ini?
5. Peta Dakap
Proses Pemikiran: Hubungan bahagian-seluruh
o Menganalisis objek fizikal. Garisan sebelah kiri adalah nama atau imej keseluruhan objek. Garisan pada bahagaian kedua ialah bahagian utama.
Langkah Membina Peta Dakap
1. Digunakan untuk mengkaji / menganalisa objek secara fizikal / maujud
2. Tuliskan bahagian objek yang ingin dipisahkan dan gariskannya.
3. Tuliskan bahagian / pecahan utama.
4. Tuliskan bahagian / komponen yang lebih kecil di sebelah kanannya.
5. Lukiskan ( { ) untuk menggabungkan / menyatukan objek dan komponennya.
Soalan-soalan berkaitan
1. Apakah nama objek ini?
2. Apakah bahagian / komponen utama objek ini?
3. Apakah komponen yang lebih kecil bagi setiap komponen utama objek ini?
4. Adakah bahagian / komponen ini merupakan sebahagian daripada .....?
5. Bahagian / komponen manakah yang telah hilang / tiada dalam gambar rajah ini?
6. Peta Alir
Proses Pemikiran: Urutan
o Membuat urutan sesuatu
Langkah Membina Peta Alir
1. Tuliskan tajuk ( peristiwa / langkah)
2. Lukiskan sebuah kotak di sebelah kiri kertas dan isikan dengan langkah pertama untuk menghasilkan / membina / membuat......
3. Lukiskan anak panah mengarah ke sebelah kanan.
4. Lukiskan kotak yang kedua dan isikan dengan langkah seterusnya.
5. Ulangi langkah sehingga tamat proses yang ingin diterangkan.
6. Sambungkan kotak dari kiri ke kanan untuk baris berikutnya (jika perlu)
7. Sekiranya terdapat penerangan selanjutnya, lukiskan kotak kecil di bawah langkah utama berkenaan.
8. Cadangan topik – Apakah yang dilakukan semasa cuti sekolah?
Soalan-soalan berkaitan
1. Apakah tajuk bagi peristiwa ini?
2. Apakah langkah / peringkat bagi setiap peristiwa?
3. Adakah terdapat penjelasan lanjut bagi langkah tertentu?
4. Apakah langkah pertama yang perlu ditulis sebelum dan selepas peringkat yang sedang dibincang?
5. Apakah yang berlaku selepas itu?
6. Bagaimanakah aturan yang terbaik untuk menyusun peristiwa ini?
7. Peta Pelbagai Alir
Proses Pemikiran: Sebab dan akibat
o Menunjuk dan menganalisis hubungan sebab dan akibat. Segiempat yang berada di bahagian tengah adalah peristiwa yang penting. Pada sebelah kirinya adalah sebab-sebab peristiwa tersebut, manakala sebelah kanan pula adalah akibat peristiwa tersebut.
Langkah Membina Peta Pelbagai Alir
1. Digunakan untuk menerangkan analisis sebab dan kesan.
2. Lukiskan kotak di bahagian tengah dan tuliskan peristiwa yang dikaji.
3. Di sebelah kiri rajah, tuliskan sebab-sebab berlakunya peristiwa tersebut dalam kotak berasingan.
4. Sambungkan setiap sebab dengan anak panah mengarah kepada peristiwa.
5. Tuliskan beberapa kesan daripada peristiwa tersebut dalam kotak di sebelah kanan.
6. Lukis anak panah mengarah ke kotak sebelah kanan.
7. Peta ini juga boleh digunakan untuk menerangkan sebab atau kesan sahaja.
8. Cadangan Topik – Saya berjaya dalam peperiksaan.
Soalan-soalan berkaitan
1. Apakah sebab dan kesan peristiwa ini?
2. Mengapakah peristiwa ini berlaku? (cause)
3. Apakah pengajaran disebalik peristiwa ini?
4. Apakah yang akan berlaku jika .................. berlaku?
8. Peta titi
Proses Pemikiran: Analogi, hubungan yang sama, mencari faktor penghubungan
o Mengaplikasi proses analogi dengan menggunakan faktor penghubungan.
Langkah Membina Peta Titi
1. Lukiskan sebuah garisan dan tuliskan
faktor penghubung (relating factor) di bahagian kiri.
2. Faktor penghubung (RF) adalah frasa setara yang
mengaitkan analogi.
3. Lukiskan garisan dan tuliskan di bahagian atas dan bawahnya
pasangan yang berkaitan.
4. Seterusnya, ikuti langkah yang sama untuk pasangan berikutnya.
5. Kedua-dua pasangan berkaitan ini disambungkan oleh puncak. ( ).
6. Sambungkan pasangan seterusnya sehingga tamat.
7. Sentiasa meletakkan ‘as’ yang bererti sama seperti pada peta titi.
Soalan-soalan berkaitan
1. Apakah faktor penghubung antara dua contoh ini?
2. Bagaimana kedua-dua perkataan ini dapat dikaitkan?
3. Apakah ayat yang dapat dibina dengan dua perkataan ini?
4. Adakah perkaitannya sama bagi semua contoh yang ditunjukkan?
No comments:
Post a Comment