Labels

Wednesday, 15 March 2017

ARTIKEL 3 : Pelaksanaan KSSR

PENGENALAN

    Artikel yang dikritik adalah bertajuk ‘Pelaksanaan Sains KSSR Tahun Satu: Satu Tinjauan Awal’. Artikel ini merupakan hasil kajian yang dijalankan oleh Fazlina Che Amat,Zurida Ismail,Nooraida Yakob dari Fakulti Pendidikan Universiti Sains Malaysia dan Abdul Majeed Ahmad dari Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Mara. Artikel ini diterbitkan dalam Jurnal Pendidikan Sains & Matematik Malaysia Vol.5 No.2 ISSN 2232-0390.Artikel ini diterbitkan pada Jun 2015 dan mengandungi  8 muka surat bercetak termasuk rujukan.Saya memperolehi artikel ini melalui laman sesawang http:// documents.tips / documents/pelaksanaan-sains-kssr-tahun-satu-satu-tinjauan-awal.html.Penulis-penulis artikel ini amat menitikberatkan tentang permasalahan yang timbul dalam pelaksanaan KSSR dalam aspek penaakulan.Selain itu para pengkaji juga mengambil kesempatan ini untuk mengkaji dan menganalisis pengetahuan guru dalam penerapan kemahiran menaakul kepada murid tahun satu dalam pengajaran Sains KSSR.Tajuk kajian ini sangat releven dan diperlukan oleh guru-guru pada masa kini seiring dengan perubahan pendidikan.Ini kerana menaakul merupakan satu kemahiran yang baru dalam KSSR dan para guru masih mengalami kerumitan untuk mengajar kemahiran ini merentasi kurikulum.Kajian sebegini akan membantu mencari satu jalan penyelesaian yang munasabah.Para pengkaji artikel ini mengambil usaha yang mencabar untuk mengkaji masalah yang dihadapi oleh guru Sains dan mencadangkan beberapa idea untuk mengatasinya maka ini akan menjadi satu panduan kepada para guru yang masih mentah mengenai kemahiran menaakul.

KRITIKAN ARTIKEL
     Penulisan artikel ini teratur dan berstruktur. Pengkaji menggunakan pendekatan penulisan ilmiah bercorak penyelidikan.Ini memudahkan para pembaca mengikuti siri perbincangan ilmiah oleh pengkaji secara berperingkat-peringkat.Penyelidik menggunakan isu semasa untuk memulakan kajian.Tujuan kajian ini adalah untuk mengenal pasti permasalahan yang timbul sepanjang pelaksanaan KSSR pada tahun 2011 dalam aspek penaakulan.Kajian ini merupakan kajian kualitatif melalui temubual berstruktur secara individu dengan 8 orang guru yang mengajar  matapelajaran Sains daripada 4 buah sekolah rendah di sekitar Sungai Petani.Pemilihan sampel dilakukan secara sampel bertujuan.Soalan temubual berstruktur dibina adalah berasaskan kepada fokus kajian.Data dianalisis berdasarkan kepada soalan kajian. Selain itu, para pengkaji berusaha untuk mencapai objektif kajian secara teratur dengan menyatakan pelbagai kaedah untuk mengatasi masalah yang diadapi oleh para guru dalam pengamalan kemahiran menaakul dalam Sains KSSR. Para pengkaji juga menyatakan batasan kajian yang dijalankan seperti sampel kajian, tempoh kajian, limitasi tempat, skop metodologi kajian.Penjelasan ini membantu pembaca memahami sempadan kajian berkenaan.Pada pandangan saya, artikel ini mempunyai beberapa kekuatan dan kelemahan yang ketara.Saya mengambil kesempatan ini untuk mengkritik serba sedikit mengenai kelemahan dan kekuatan artikel ini. Namun begitu artikel ini boleh dijadikan sebagai satu rujukan atau panduan kepada para pengkaji pada masa akan datang.


KEKUATAN ARTIKEL                
     Salah satu kekuatan artikel ini ialah reka bentuk yang digunakan.Rekabentuk yang digunakan ialah kualitatif.Menurut Othman Lebar (2012) kaedah kualitatif amat sesuai untuk mendapatkan pemahaman mendalam tentang dunia responden serta membantu menggambarkan pandangan dunia yang lebih realistik.Maka amat sesuai para pengkaji memilih reka bentuk ini untuk mendapatkan data yang mendalam dan terperinci daripada respondan.Dengan ini,para pengkaji dapat mengetahui masalah-masalah yang wujud dalam pelaksanaan kemahiran menaakul dalam matapelajaran Sains KSSR Tahun 1 dengan jelas daripada respondan.Kekuatan seterusnya ialah,para pengkaji telah memilih sampel secara sampel bertujuan (purposive sampling).Sampel bertujuan sesuai digunakan dalam kaedah kualitatif kerana sempel yang dipilih adalah individu yang menurut pertimbangan kajian yang boleh didekati.Pengkaji telah memilih sampel berdasarkan ciri khusus sampel bertujuan iaitu guru Sains yang mengajar tahun 1 bagi kohort pertama KSSR dan guru yang berpengalaman.Lantaran itu, pemilihan kaedah sampel ini dapat membantu pengkaji untuk memperolehi kefahaman yang lebih mendalam daripada peserta.Disamping itu para pengkaji menggunakan kaedah temu bual berstruktur dalam kajian untuk mengumpul data.Kaedah temubual dianggap sebagai kaedah yang unik kerana ia melibatkan pungutan data melalui lisan dalam pertemuan antara dua pihak secara langsung dipetik dari Azizi Yahya, S. H. (2006).Dengan ini, pengkaji dapat memperolehi data-data yang dikehendaki tentang kajian dengan mudah. Selain itu, pengkaji menggunakan tinjauan literatur yang pelbagai dalam kajiannya.Para pengkaji merujuk kajian-kajian lepas dalaman dan luaran untuk menganalisis data-data yang diperolehi.Booth, A., Papaioannou, D. & Sutton, A. (2012) menyatakan bahawa ini akan membantu penyelidik mentafsir dapatan kajian yang akan diperoleh.Selain itu penyelidik boleh mempelajari bagaimana penyelidik lain mentafsir dapatan penyelidikan dan membentuk teori. Pengetahuan seperti ini membolehkan penyelidik untuk membuat tafsiran dengan betul dan tepat kepada dapatan yang akan diperolehi.Selain itu, perkara ini penting bagi pengkaji kerana ulasan literature dapat menyokong kesimpulan yang dibuat serta meningkatkan lagi keautentikan kajian.


KELEMAHAN ARTIKEL
     Aspek kelemahan yang telah dikenalpasti dalam kajian ialah bilangan sampel.Dalam kajian ini,hanya 8 orang guru Sains sekolah rendah dari empat buah sekolah dipilih sebagai sampel.Walaupun para pengkaji menggunakan kaedah persampelan bertujuan, namun saiz respondan agak kecil untuk menganalisis data yang diperolehi.Ini kerana  sampel data yang sedikit tidak mampu memberikan data yang lengkap dipetik dari Sent,A.(2010).Selain itu, pengkaji hanya menggunakan kaedah temu bual berstruktur untuk mendapatkan data dalam kajian ini.Pada pendapat saya,pengkaji boleh juga menggunakan alatan mekanikal seperti gabungan kamera video dan alat perakam suara untuk merekod dan memelihara data.Dengan menggunakan alat mekanikal semua hasil temu bual dapat dicatat dengan sempurna serta setiap soalan dan jawapan dapat didengar kembali apabila terdapat kekurangan dalam data yang diperolehi.Dengan ini, kita boleh meningkatkan kesahan dalaman dalam kajian ini.Seterusnya, pengkaji boleh juga menggunakan kaedah temubual tidak berstruktur.Ini kerana kaedah temubual tidak berstruktur dapat membantu pengkaji menerokai maklumat secara mendalam dan terperinci berbanding dengan temubual berstruktur. Dengan teknik temubual tidak berstruktur ini para respondan juga diberi kesempatan untuk membuat interprestasi mengenai pemahaman kemahiran menaakul mengikut soalan kajian ini.Selain itu pengkaji juga boleh menyoal secara spontan dan respondan juga rasa selesa untuk menjawab dengan ideanya sendiri.Disamping itu,para pengkaji mengkaji penguasaan kemahiran 4M (Menulis ,Membaca ,mengira dan menaakul )  dalam pengajaran dan pembelajaran Sains KSSR.Akan tetapi, dalam tajuk kajian ini agak umum dan tidak menyatakan kemahiran 4M yang diuji.Maka, para pengkaji bolehlah menambahbaik tajuk kajiannya kepada lebih spesifik kerana tajuk kajian amat penting dan mampu menjelaskan persoalan pokok dan fokus kajian.

 KESIMPULAN
  Secara kesimpulannya,kajian ini telah menjawab objektif kajian yang dikehendaki.Kemahiran menaakul akan memberi kesan positif yang signifikan sekiranya para guru memahaminya secara mendalam.Para pengkaji perlu melakukan beberapa penambahbaikan pada masa akan datang supaya artikel ini  digunakan sebagai salah satu hasil penyelidikan yang mampu memberi manfaat kepada para guru.


RUJUKAN

Jasmi, K. A. (2012). Metodologi Pengumpulan Data dalam Penyelidikan Kualitatitif in  
    Kursus Penyelidikan Kualitatif Siri 1 2012 at Puteri Resort Melaka on 28-29 Mac  
    2012. Organized by Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Temenggong Ibrahim,  
    Jalan Datin Halimah, 80350 Johor Bahru, Negeri Johor Darul Ta'zim.

Booth, A., Papaioannou, D. & Sutton, A. (2012). Systematic Approaches to a Successful    
     Literature Review. California: SAGE Publication.

Amani Dahaman (2011). Penyelidikan Pendidikan. Tinjauan Literatur/Sorotan Kajian
    (April 2011)

Upiq Asmar Zainal Abidin dan Ragu Ramasamy (2015) Persepsi Guru Terhadap
    Kemahiran Berfikir Aras Tinggi Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Di Sebuah
    Sekolah.International ASEAN Comparative Education Research Network
    Conference.Kajang. Malaysia

Zabani Bin Darus (2012) Jurnal Penyelidikan Pendidikan . Bahagian Perancangan
    Penyelidikan & Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia. Malaysia.

Creswell, J. W. (2012). Qualitative inquiry and research design: Choosing among the
    five traditions (3rd ed.). Thousand Oaks, CA: Sage


No comments:

Post a Comment