Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) ditakrifkan sebagai penggunaan potensi minda untuk menangani cabaran baru (Onosko & Newmann, 1994). KBAT dimaksudkan adalah di mana seorang individu itu perlu untuk memahami, menterjemah, menganalisis, dan memanipulasikan maklumat. KBAT juga merupakan salah satu komponen utama dalam kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis.
Kemahiran berfikir aras tinggi(KBAT atau HOTs) ialah kemahiran berfikir yang tidak menggunakan algoritma dan boleh mempunyai banyak penyelesaian. Ini juga membawa maksud tidak berfikir dengan cara kebiasaan kita berfikir dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) menyenaraikan enam ciri utama yang perlu ada bagi setiap murid untuk bersaing pada peringkat global dan kemahiran berfikir merupakan salah satu daripada enam ciri tersebut.
Kemahiran berfikir aras tinggi biasanya merujuk kepada empat tahap kemahiran teratas dalam Taksonomi Bloom edisi semakan (Anderson & Krathwohl, 2001) iaitu mengaplikasi, menganalisis, menilai, dan mencipta. Seseorang itu perlu lebih kreatif apabila menghadapai masalah dengan mempunyai lebih dari satu penyelesaian. Ia merupakan empat aras teratas dalam Taksonomi Bloom iaitu mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta. Ia termasuk pemikiran kritial, pemikiran kreatif, pemikiran logikal, pemikiran reflektif dan meta-kognitif. Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dicetuskan melalui masalah bukan rutin iaitu masalah yang kurang jelas di mana murid dikehendaki sama ada mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta.
Pemikiran Aras Tinggi (HOTs) merupakan salah satu komponen utama dalam kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis (KBKK). George Polya dalam tahun 1957 berjaya membina satu model penyelesaian matematik yang dikenali sebagai " Model Polya". KBAT juga merupakan aras yang paling tinggi dalam hirarki proses kognitif. Ianya berlaku apabila seseorang mendapat maklumat baru, menyimpan dalam memori dan menyusun, mengaitkan dengan pengetahuan sedia ada dan memanjangkan maklumat ini untuk mencapai sesuatu tujuan atau penyelesaian situasi rumit.
Kemahiran berfikir aras tinggi ialah keupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu menurut definisi yang dikeluarkan oleh Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM).
Penggunaan minda secara meluas berlaku apabila seseorang itu perlu mentafsir, menganalisis atau memanipulasi maklumat untuk menjawab soalan atau menyelesaikan masalah yang dikemukakan. Hanya dengan mengaplikasikan maklumat yang telah diperoleh lebih awal untuk menjawab soalan atau menyelesaikan masalah dalam situasi baru mungkin tidak akan membuahkan hasil.
Pemikiran Aras Tinggi merupakan perluasan maklumat yang sedia ada dalam minda untuk menghasilkan sesuatau yang baru atau asli (Zevin, 1995) Masalah-masalah yang mempunyai pelbagai kemungkinan penyelesaian merupakan nadi kepada Pemikiran Aras Tinggi.
KEPENTINGAN KBAT
KBAT merupakan satu aspek yang besar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ia menjadi satu elemen penting di mana KBAT membantu mewujudkan kecekapan dan keupayaan menggunakan minda, menilai kemunasabahan atau kewajaran sesuatu idea, meneliti kebernasan, kebaikan dan kelemahan sesuatu hujah, membuat pertimbangan yang wajar dengan menggunakan alasan dan bukti yang munasabah. Kemahiran ini juga penting untuk memperbaiki idea yang sudah sedia ada dan menilai idea-idea baru itu dalam konteks paradigma lama.
Ringkasnya, kemahiran berfikir secara kritis berguna untuk membantu mengelak kesilapan. Jikalau seseorang individu sering memikir dan menghasilkan idea baru dan munasabah, barulah kemahiran berfikir secara kritis dapat digunakan untuk mencari kelemahan – kelemahan dan kesilapan – kesilapan yang ada pada idea supaya dapat diperbaiki.
KBAT amat penting dalam menghasilkan modal insan yang cerdas, kreatif dan inovatif bagi memenuhi cabaran abad ke-21 agar negara mampu bersaing di persada dunia. Soalan KBAT memerlukan pelajar untuk mengaplikasi, menganalisis, mensintesis dan menilai sesuatu maklumat daripada menyatakan semula fakta. Semasa proses penyelesaian masalah, secara tidak langsung pelajar akan berfikir secara aktif, kreatif dan kritis dan ini menyebabkan pelajar kita cerdas berfikir.
Selain itu, KBAT turut memberi kepentingan dalam menghasilkan pelajar yang berfikir secara kreatif dan kritis. KBAT memerlukan pemikiran yang meluasdan mendalam dalam menyelesaikan masalah. Jadi, KBAT penting dalam membentuk pelajar yang sentiasa berfikir, bukan sahaja menyelesaikan masalah seperti masalah rutin yang hanya menyelesaikan langkah demi langkah mengikut hafalan teori. Kemahiran berfikir secara kritis berguna untuk membantu mengelak kesilapan.
Membuat pertimbangan yang wajar dengan menggunakan alasan dan bukti yang munasabah merupakan kepentingan KBAT yang lain. Kemahiran berfikir aras tinggi dapat menghasilkan idea baru dan munasabah. Pelajar yang mengaplikasikan konsep KBAT dapat membuat pertimbangan yang wajar dalam menyelesaikan masalah dengan menggunakan alasan dan bukti yang munasabah.
TUJUAN DIPERKENALKAN KBAT
Pengajaran di sekolah disediakan sepenuhnya untuk peperiksaan. Maka dengan mudah pelajar dapat menggarap markah sepenuhnya melalui soalan-soalan awal yang memerlukan penghafalan fakta dan sebagainya. Justeru itu kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) diperkenalkan untuk mengubah amalan tersebut kepada konsep kefahaman sejajar dengan hasrat hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia Negara maju menjelang abad 21.
Di samping itu, tujuan lain kemahiran berfikir aras tinggi(KBAT) diperkenalkan adalah untuk:
1. meningkatkan tahap kesedaran pengetahuan (lebih banyak analisa, menilai dan mencipta)
2. mewajarkan penyelesaian dan penemuan
3. diperlukan untuk penyiasatan saintifik
4. meningkatkan keupayaan murid dalam menyiasat dan meneroka idea Matematik
5. konsep matematik dapat dipelajari dengan lebih berkesan menggunakan KBAT
Soalan “aras tinggi” menggalakkan pembelajaran sebab jenis soalan ini memerlukan pelajar mengaplikasi, menganalisis, mensintesis dan menilai maklumat, bukan semata-mata mengingat fakta. Tidak semua tugasan sama, tugasan yang berbeza menggalakkan tahap dan jenis pemikiran yang berbeza. Tahap pemikiran di mana murid melibatkan diriakan menentukan tahap pembelajaran mereka. Soalan Bukan Rutin yang memerlukantahap kognitif yang lebih tinggi dapat membentuk KBAT dalam kalangan murid.
ISU DAN KESAN BERKAITAN KBAT
Pendidikan dilaksanakanbertujuan untuk memperkukuhkan daya fikir seseorang ke tahap maksimum supaya daya fikir seseorang itu bersifat inovatif, kreatif dan imaginatif. Dengan mencerakinkan keseluruhan yang berkaitan kemahiran berfikir dalam pengajaran, memudahkan hasrat untuk melahirkan insan seimbang dan harmonis. Jelas di sini, pendidikan di Malaysia adalah untuk melahirkan individu yang terdidik dari segi kognitif, afektif dan psikomotor agar matang berfikir, berkemahiran untuk memikul tanggungjawab dan mempunyai komitmen untuk mendukung aspirasi pendidikan negara.
KESAN KBAT KEPADA MURID
Kesan mengaplikasikan KBAT dalam mata pelajaran matematik ialah murid bebas untuk membanding, membeza, menyusun atur, mengelas dan mengenal pasti sebab dan akibat mengikut pendapat dan pandangan mereka sendiri. Andai kata diberikan suatu soalan maka murid boleh memberi jawapan dalam pelbagai bentuk, idea baru dan melihat daripada beberapa sudut.
Di sinilah dikatakan wujudnya pemikiran berbentuk kreatif, inovatif dan merekacipta di kalangan murid. Justeru ini, proses pembelajaran menjadi lebih mantap apabila murid melakukan latihan bertulis. Melalui kemahiran berfikir aras tinggi murid akan dapat menulis dengan mengeluarkan pelbagai pendapat secara kreatif dan mungkin juga terdapat idea-idea baru. Di sinilah peluang kepada guru untuk memberi komen, galakan dan tunjuk ajar agar murid menjadi lebih produktif dan berdaya maju.
KESAN KBAT KEPADA GURU
Kesan apabila penggunaan KBATdalam mata pelajaran matematik ialah dapat meningkatkan tahap kecekapan mereka apabila item untuk murid-murid. Melalui ini, guru-guru akan menggunakan teknologi yang canggih untuk mendapat banyak maklumat. Selain itu, guru akan lebih bersedia sebelum mula sesuatu kelas. Melalui ini, guru dapat meningkatkan tahap pembacaan mereka. Mereka akan merujuk beberapa bahan rujukan untuk menghasilkan soalan yang berunsur bukan rutin. Justeru ini, guru-guru dapat meningkatkan tahap pengetahuan mereka. Guru-guru akan meluangkan lebih masa untuk mencari maklumat yang berkaitan dengan soalan KBAT.
Melalui ini, guru dapat memberikan sesuatu yang terbaik kepada murid-murid. Ini adalah kerana, guru-guru akan menerokai pelbagai sumber untuk mendapat maklumat yang bertaraf tinggi. Di samping itu, guru akan mula untuk menggunakan inovasi dala pengajaran dan pembelajaran harian. Melalui ini, dapat pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih seronok dan dapat menarik minat murid. Guru-guru juga akan menangani pelbagai cabaran yang mungkin timbul dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
KESAN KBAT KEPADA NEGARA
Malaysia mengambil bahagian dalam pentaksiran peringkat antarabangsa, Trends in International Mathematics and Science Studies (TIMSS) sejak 1999, dan Programme for International Student Assessment (PISA) sejak 2009 untuk mengetahui prestasi murid di Malaysia dalam bidang Sains dan Matematik berbanding dengan negara lain di seluruh dunia.
Berdasarkan dapatan daripada pentaksiran tersebut, pencapaian murid dalam kedua-dua pentaksiran Sains dan Matematik menunjukkan kadar penurunan pencapaian murid yang sangat ketara dan membimbangkan.Bagi menangani masalah tersebut, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025, mensasarkan agar menjelang tahun 2025, Malaysia berada di tahap satu pertiga teratas bagi kedua-dua pentaksiran TIMSS dan juga PISA. Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) telah diamanahkan sebagai pemegang tanggungjawab terhadap beberapa inisiatif penting yang merupakan antara usaha untuk menangani masalah kemerosotan ini.
Kesannya penggunaan KBAT dalam mata pelajaran matematik ialah bagi meningkatkan pencapaian murid dalam kedua-dua pentaksiran berkenaan, dan seterusnya melonjakkan pencapaian Malaysia agar berada di kedudukan satu pertiga teratas dalam TIMSS dan PISA menjelang 2025.