Labels

Thursday, 27 April 2017

ISU PENILAIAN

PENILAIAN DALAM KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI (KBAT)

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) merupakan keupayaan untuk mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu.Dalam pentaksiran pusat, soalan berbentuk aras tinggi dikemukakan. Strategi pengajaran dan pembelajaran KBAT berbentuk inkuiri, penyelesaian masalah, penyelidikan dan berasaskan projek. Pelbagai pendekatan dan aktiviti dalam bilik darjah yang boleh dilaksanakan. Guru dan murid boleh menggunakan alat berfikir seperti peta pemikiran dan penyoalan aras tinggi semasa PdP. Pengajaran dan pembelajaran akan berubah menjadi pembelajaran dan pemudahcaraan apabila guru berperanan mengajar dan murid belajar semasa melaksanakan aktiviti aras pemikiran rendah dan apabila aras pemikiran meningkat ke aras yang lebih tinggi, guru berperanan sebagai pemudah cara semasa murid belajar.


PENILAIAN MENGGUNAKAN TEKNOLOGI

KALKULATOR GRAFIK

Kalkulator grafik merupakan salah satu bahan yang boleh diintegrasikan dalam pengajaran dan pembelajaran seperti yang hangat diperbincangkan pada masa kini. Perkembangan teknologi adalah berterusan sehingga pada tahun 1986, Casio memperkenalkan kalkulator grafik yang berupaya menayangkan fungsi dalam perwakilan graf seperti perisian komputer, bahkan mempunyai kelebihan ‘handy’ serta ‘portable’. Inovasi ini menjadikan kalkulator grafik menjadi pilihan bahan sokongan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan digunakan dalam proses penilaian oleh pengamal pendidikan matematik. Mengambil contoh bagi tajuk Persamaan Kuadratik, murid dikehendaki melakar atau melukis graf kuadratik. Berbanding secara konvensional, ia didapati lebih mudah dengan menggunakan proses penggrafan melalui pendekatan fungsi, iaitu penggrafan itu dapat ditunjukkan dengan pantas menggunakan bahan sokongan alatan teknologi (Laughbaum, 1999). Oleh itu, penggunaan kalkulator grafik yang mudah digunakan di bilik darjah, boleh digunakan untuk memperkenalkan bentuk am persamaan kuadratik serta subtopik yang berkaitan dan seterusnya diaplikasikan semasa proses penilaian. Melalui kalkulator grafik, murid akan dapat menjimatkan masa mereka, selain dapat jawapan yang tepat, kemas dan cantik. 



PERISIAN GEOGEBRA

Menurut Ayu dan Effandi (2014), perisian Geogebra merupakan perisian matematik dinamik yang berkembang pesat di seluruh dunia terutama di Eropah dan Amerika Utara. Perisian ini dibangun oleh Markus Hohenwarter daripada projek tesis semasa menempuh pengajian sarjana dalam tahun 2001 di Universiti Salzburg, Austria. Idea asas pembangunan perisian ini menggabungkan konsep geometri, algebra, dan kalkulus dengan pakej tambahan spreadsheet dan algebra komputer. Nama Geogebra sendiri diberikan sebagai singkatan daripada Geometri dan Algebra. Perisian Geogebra yang merupakan lanjutan konsep geometri dinamik untuk bidang aljebra dan analisis matematik, telah diterbitkan di laman web dalam tahun 2002 sebagai perisian yang dapat dimuat turun secara percuma. Perisian geogebra merupakan gabungan daripada ‘Dynamic Geometry Software’ (DGS) dan juga ‘Computer Aljebra System’ (CAS) dibawah pengawasan ‘General Public License’ (GPL) dan dapat diakses secara percuma melalui internet pada laman www.geogebra.org. Bagi memudahkan para pengguna dari pelbagai negara, Perisian Geogebra telah dialih kedalam pelbagai bahasa.



Artikel 1

Tajuk Jurnal       :    PENTAKSIRAN PEMBELAJARAN PELAJAR: AMALAN GURU-GURU  
                               DI MALAYSIA 

Penulis Jurnal     : Suah See Ling, Ong Saw Lan & Shuki Osman

Ulasan:

Kajian ini bertujuan untuk memperoleh maklumat tentang amalan-amalan pentaksiran yang dilaksanakan oleh guru-guru sekolah. Satu instrumen, Inventori Amalan Pentaksiran Guru (IAPG) dibina untuk tujuan tersebut. Inventori ini terdiri daripada tiga bahagian utama yang mengumpul maklumat tentang latar belakang guru, latihan dan pengetahuan pentaksiran guru serta amalan-amalan pentaksiran yang dilaksanakan oleh guru-guru sekolah. Sampel kajian ini terdiri daripada 602 orang guru sekolah dari kawasan utara Malasysia. Data kajian dianalisis dengan menghitung nilai min respons serta peratusan responden yang mengamalkannya. Hasil kajian menunjukkan bentuk pentaksiran yang sering digunakan oleh guru sekolah merupakan ujian objektif berbentuk aneka-pilihan. Terdapat perbezaan yang signifikan antara guru peringkat persekolahan berlainan dalam aspek pembentukan skema pemarkahan, memberi maklum balas hasil penilaian dan penggunaan ujian bertulis dan penggunaan strategi lain. Perbandingan antara guru dari bidang pengajaran yang berlainan hanya menunjukkan perbezaan yang signifikan dalam ujian bertulis.


Artikel 2


Tajuk Jurnal :  PENGGUNAAN PENILAIAN FORMATIF SEBAGAI PROSES MELANGKAPKAN GELUNG : SATU USAHA PENAMBAHBAIKAN.

Penulis Jurnal : Hamimi Fadziatia

Ulasan :

Kajian ini menjurus kepada penilaian formatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk mengesan pencapaian objektif pembelajaran yang dilakukan di IPTA. Penyelidik menyokong penuh penilaian secara formatif berbanding sumatif kerana penilaian formatif adalah secara berterusan sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Penilaian formatif dilakukan untuk memperbaiki proses P&P sebaliknya penilaian secara sumatif hanya melihat penilaian di akhir proses P&P untuk menilai pencapaian pelajar. Walaupun tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk membuat penambaikan dalam meningkatkan proses P&P, tetapi ia juga boleh diterapkan dalam penilaian dalam kalangan guru matematik. Menilai pelajar secara berterusan adalah cara terbaik. Manakala penilaian sumatif tidak boleh menentukan kebolehan murid itu secara menyeluruh. Lebih-lebih lagi subjek matematik, menilai kebolehan murid dalam menyelesaikan masalah, sepanjang proses P&P adalah amat penting dalam meningkatkan prestasi murid dalam Matematik

Tuesday, 18 April 2017

ISU STANDARD PENGAJARAN PROFESIONAL

ARTIKEL 1: GURU ABAD KE -21



         Guru merupakan tenaga pengajar, pendidik, dan pengasuh. Guru dianggap sebagai pengurus kepada kelas yang diajarnya. Guru memainkan peranan sebagai fasilitator, mentor dan kaunselor sepanjang proses pembelajaran dan pelajaran (P&P). Dalam abad ke-21, guru memainkan peranan yang lebih berat dengan bebanan tugas yang semakin bertambah. Guru abad ke-21 merupakan guru yang mempunyai ciri-ciri seperti kaya dengan maklumat terutama dalam sains dan teknologi, mempunyai kemahiran berfikir yang tinggi, berfikiran konstuktif, mampu menerapkan nilai-nilai murni dalam diri pelajar serta mempunyai pengetahuan dan kemahiran industri.

         Guru abad ke-21 perlu mengorak langkah bagi menggembleng tenaga dan peluang untuk melengkapkan diri supaya lebih berketrampilan sebagai pemimpin yang menyampaikan ilmu berasaskan teknologi semasa serta bersedia untuk menguasai dan menggunakan teknologi maklumat untuk pelbagai bidang dan menjalani urusan harian. Selain itu, kemahiran berfikir secara konstruktif juga perlu dimiliki oleh guru abad ke-21. Para pelajar perlu dididik menggunakan daya pemikiran yang beraras tinggi untuk menghadapi perubahan zaman.

         Peranan guru dalam abad ke-21 ialah menerapkan nilai-nilai murni dalam diri setiap insan yang bergelar pelajar. Pelajar merupakan pelanggan utama kepada guru dan guru bertindak sebagai agen dalam menyampaikan semua perkara berkaitan kehidupan. Nilai-nilai murni menitikberatkan perlakuan yang baik dan tidak melanggar norma-norma masyarakat, bertatasusila dalam perhubungan sesama manusia, makhluk lain dan Tuhan. Elemen ini sangat penting dalam usaha membudayakan masyarakat bagi mewujudkan keharmonian sesebuah negara. Dalam perkara ini, guru perlu bertindak sebagai ‘role model’ kepada pelajarnya dan masyarakat. Di samping itu, guru abad ke-21 perlu menguasai pengetahuan dan kemahiran industri. Ini sangat penting bagi melahirkan generasi atau modal insan untuk pasaran kerja industri yang semakin pesat berkembang. Usaha ini merupakan sumbangan untuk melahirkan sumber manusia yang menyumbang kepada tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, berkualiti, serba boleh, dan responsif terhadap perubahan serta perkembangan industri semasa.

          Dalam abad ke-21 ini juga, guru berdepan dengan pelbagai cabaran dan rintangan khasnya di dalam bilik darjah. Para pelajar telah mendapat pelbagai kemudahan seperti kemudahan ICT untuk membantu mereka dalam proses pembelajaran bestari. Hal ini akan menimbulkan kerumitan bagi guru-guru yang kurang berkemahiran dalam penggunaan ICT. Rentetan daripada perkara ini, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah meminta para guru yang belum memiliki ijazah supaya menhadiri kursus atau program yang telah ditawarkan bagi meningkatkan kemahiran diri para guru yang terlibat. 













ARTIKEL 2 : PLC






Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara bangsa. Pembangunan modal insan bertaraf dunia merupakan prasyarat untuk membawa Malaysia ke persaingan ekonomi global abad ke 21. Justeru itu, Program Transformasi Kerajaan (GTP1.0) telah meletakkan pendidikan sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang mana fokusnya ialah untuk membolehkan semua pelajar mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti dan mampu menguasainya dengan terbaik. Matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan ialah untuk meningkatkan prestasi pelajar dengan memberi fokus kepada empat sub bidang iaitu PraSekolah, Literasi dan Numerasi (LINUS), Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan Tawaran Baru (New Deals) kepada Pengetua/Guru Besar.


Kajian dalam bidang keberkesanan sekolah (school effectiveness) mendapati bahawa prestasi pelajar dipengaruhi oleh system sekolah yang berprestasi tinggi yang didokong oleh dua komponen utama iaitu kualiti kepimpinan dan kualiti guru. Untuk meningkatkan prestasi sekolah melalui peningkatankualiti secara menyeluruh, semua sekolah telah diberikan kedudukan melalui proses penyenaraian dan diberikan tingkat kedudukan(Band 1-7). Sejumlah sekolah dalam kategori berprestasi rendah telah diberikan sokongan dan dorongan untuk penambahbaikan terhadap aspek kepimpinan serta pengajaran dan pembelajaran (PdP). Guru dan  pemimpin sekolah diberikan latihan peningkatan profesionalisme oleh bahagian tertentu di Kementerian Pelajaran Malaysia, seperti Bahagian Pendidikan Guru (BPG) dan Institut Aminudin Baki (IAB). Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh BPG untuk memastikan kelestarian kualiti guru ialah Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC).

Pemilihan PLC sebagai salah satu inisiatif dalam meningkatkan kualiti guru adalah berdasarkan trend dan perkembangan pendidikan di negara-negara maju di mana pemantapan komuniti pembelajaran profesional dalam kalangan pendidik dlihat sebagai usaha yang dapat meningkatkan profesionalisme guru. Konsep komuniti pembelajaran profesional di negara-negara tersebut merangkumi aktivitiaktiviti kolaboratif antara pihak sekolah dengan pihak di luar komuniti sekolah. Sekolah boleh membawa masuk pihak berkepentingan dari luar sekolah ke dalam bilik darjah untuk menterjemahkan kurikulum dan penyampaian kurikulum, serta aktiviti kolaboratif antara pihak berkepentingan dengan pihak sekolah untuk memantapkan penyampaian pendidikan bagi meningkatkan pencapaian pelajar.


Pelbagai aktiviti dalam pendekatan Komuniti Pembelajaran Profesional telah digunakan oleh masyarakat guru di negara-negara maju, antaranya ialah pengajaran bersama rakan guru (team teaching), tunjuk cara dalam pengajaran (lesson demonstration), sistem sokongan rakan sekerja (buddy support system), perkongsian pintar antara komuniti sekolah dengan komuniti di luar sekolah, dan pengajaran secara kolaboratif (collaborative teaching). Lesson Study sebagai satu aktiviti pengajaran dan persediaan pengajaran secara kolaboratif semakin mendapat tempat dalam sistem pendidikan di negara-negara maju. 





ARTIKEL 3 : PENGETAHUAN PEDAGOGI ISI KANDUNGAN (PCK)



              Pedagogical Content Knowledge (PCK) atau pengetahuan pedagogi kandungan mula dicadangkan oleh Shulman(1986) dan telah dikembangkan bersama rakan-rakannya yang lain sebagai satu model perspektif yang lebih luas untuk memahami proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut Shulman (1987), PCK ialah gabungan antara pengetahuan isi kandungan dan pengetahuan pedagogi.  Pengetahuan isi kandungan ialah pengetahuan mendalam tentang isi kandungan yang diajar. Sebagai contoh, seorang guru matematik tingkatan 1 perlu memahami dan menguasai sepenuhnya tajuk-tajuk matematik tingkatan 1 seperti pecahan, perpuluhan, garis dan sudut, ukuran asas, geometri dan sebagainya. Pengetahuan isi kandungan harus diselaraskan dengan spesifikasi kurikulum dan juga sukatan pelajaran. Pengetahuan pedagogi pula adalah merujuk kepada pengetahuan tentang prinsip-prinsip dan kaedah mengajar, merangkumi  pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah seperti pendekatan, kaedah atau teknik, strategi, kurikulum dan sukatan pelajaran, pengujian dan penilaian, serta pemulihan dan pengayaan. Setiap insan yang bergelar guru haruslah mempunyai pengetahuan ini kerana ia sangat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

            Isu yang berkaitan pengetahuan pedagogi kandungan (PCK ) yang sering timbul adalah pemilikan pengetahuan-pengetahuan ini dalam kalangan guru di Malaysia.  Beberapa kajian telah dijalankan bagi mengetahui status ini di negara kita.  Kajian yang pertama yang dilakukan oleh Tengku Zawawi Tengku Zainal, Ramlee Mustapha & Abdul Razak Habib yang bertajuk Pengetahuan Pedagogi Isi Kandungan Guru Matematik Bagi Tajuk Pecahan : Kajian Kes Di Sekolah Rendah. Dapatan kajian in menunjukkan PCK di kalangan guru baru dan guru berpengalaman berada pada tahap yang rendah. Perkembangan pengalaman guru tidak selari dengan perkembangan PCK. 

            Selain itu, kajian yang dijalankan oleh Norasliza Hassan & Zaleha Ismail (2008) yang bertajuk Pengetahuan Pedagogi Kandungan Guru Pelatih Matematik Sekolah Menengah mendapati tahap penguasaan PCK guru pelatih matematik masih pada tahap sederhana.  Mereka ini gagal memahami punca berlakunya miskonsepsi pelajar dan kurang kemahiran dalam mengemukakan soalan yang sesuai untuk mendedahkan miskonsepsi dalam kalangan pelajar.  Guru pelatih ini menggunakan kaedah ‘student-centered’ dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  Dapatan juga menunjukkan pengetahuan konsep masih rendah dalam kalangan guru pelatih Matematik kerana pengetahuan kandungan (CK) yang rendah.  Oleh itu, bagi mengatasi masalah ini setiap guru pelatih mestilah melengkapkan diri mereka dengan kemahiran mengemukakan soalan kerana kemahiran ini sangat penting bagi mengesan tahap pengetahuan berbahasa pelajar, selain dapat menggalakkan pelajar itu sendiri berfikir secara kreatif, kritis, logical dan inovatif.  

            Kajian yang ketiga adalah dijalankan oleh Shaharom Noordin & Faridah Sapiee (2010), yang bertajuk Tahap Pencapaian Pengetahuan Pedagogi Dan Kandungan Dalam Kalangan Bakal Guru Fizik.  Kajian ini menunjukkan terdapat perkaitan yang positif sederhana yang signifikan antara tahap pencapaian pengetahuan pedagogi dengan tahap pencapaian pengetahuan Fizik.  Kajian yang terakhir adalah yang dijalankan oleh Nor Aishah Buang dan Yap Poh Moi (2002) yang mengkaji berkaitan kesediaan guru-guru perdagangan dari segi aspek pengetahuan kaedah pengajaran dan sikap terhadap pengajaran subjek pengajian keusahawanan.  Dapatan kajian mendapati bahawa tiada kesediaan yang mencukupi terhadap pengajaran subjek Pengajian Keusahawanan dari aspek penguasaan pedagogi kandungan dan sikap terhadap subjek tersebut.  Dapatan kajian juga menunjukkan pengetahuan pedagogi dan pengetahuan kandungan masih tahap yang rendah. 

            Kesimpulannya, melalui contoh-contoh kajian yang telah dijalankan dalam negara menunjukkan tahap pengetahuan pedagogi kandungan (PCK) masih pada tahap yang rendah.  Guru-guru di Malaysia sememangnya telah memiliki pengetahuan ini namun tahap pengetahuan berada pada kedudukan sederhana rendah.  Proses pengembangan PCK ini seharusnya bermula di peringkat awal program latihan perguruan.  Selain itu, kekurangan dan kelemahan dalam sistem pendidikan guru akan menyebabkan guru-guru yang baru tidak mempunyai persediaan yang sewajarnya untuk memulakan tugas sebagai seorang pendidik masa akan datang. Menurut Zawawi et.al (2009), perlunya satu program sokongan dan pemantauan berterusan diberikan kepada guru-guru baru lepasan pusat-pusat latihan perguruan sama ada dari university ataupun maktab-maktab perguruan.  Menurut Nor Aisyah (2002), Kementerian Pendidikan Malaysia bertindak sebagai satu pasukan yang sentiasa menilai dan mengikuti perkembangan pelaksanaan subjek ini serta sentiasa memberi panduan yang secukupnya kepada guru-guru.